Sunday, 29 September 2013

Sejarah Sungai Rembau-Linggi

  


    Sungai Linggi merupakan antara sungai utama yang berada dalam Negeri Sembilan. Sungai itu yang berpunca dari kawasan pergunungan di Banjaran Titiwangsa mengalir melalui kawasan lembangan sekitar Daerah Seremban dan berakhir di Kuala Linggi, Melaka. Menurut sumber lisan, pada waktu dahulu Sungai Linggi boleh dimudik sejauh ke pantai. Kapal-kapal kecil boleh belayar jauh ke pedalaman lembah Sungai Linggi. Sungai Linggi menjadi sempadan bagi Negeri Sembilan dan Melaka yang bermula di pertemuan Sungai Rembau dan Sungai Linggi. Pada abad ke-16 Masihi, Sungai Linggi menjadi laluan perdagangan utama antara Melaka dan Sungai Ujong. 
  
   Pada abad ke-18 Masihi, Sungai Linggi telah berubah menjadi laluan perdagangan bijih timah. Kawasan-kawasan seperti Seremban, Rasah, Rahang, Mambau, Rantau dan Pengkalan Kempas menjadi kawasan rangkaian perdagangan bijih timah yang penting ketika itu. Sungai Linggi juga menjadi kawasan dan sempadan pengaruh politik antara Datuk Syahbandar Sungai Ujong dan Datuk Kelana Sungai Ujong. Datuk Syahbandar Sungai Ujong mengawal dan berpengaruh di Linggi, Pengkalan Kempas, Rantau, Mambau, Rahang, Bukit Kepayang dan Labu. Manakala Datuk Kelana Sungai Ujong berpengaruh di Lenggeng, Mantin, Ampangan, Paroi dan Sungai Gadut.

   Panjang Sungai Linggi dianggarkan  83.5 kilometer bermula dari kawasan berbukit di Kampung Jerlang hingga ke Kuala Linggi
di Melaka. Sungai Linggi turut menjadi sumber air bersih bagi Daerah Seremban, Negeri Sembilan. Terdapat beberapa sungai 
utama yang menyumbang aliran air ke Sungai Linggi iaitu Sungai 
Jerlang, Sungai Paroi, Sungai Temiang Diversion, Sungai Temiang, Sungai Kepayang, Sungai Mantau, Sungai Kayu Ara, Sungai Belangkan, Sungai Simen dan Sungai Rembau. Sungai yang  mengalir dari kuala hingga ke pertemuan dengan kuala Sungai Temiang Diversion dikenali sebagai Sungai Linggi, manakala sungai yang mengalir bermula dari titik pertemuan dengan kuala Sungai Temiang Diversion hingga ke pedalaman punca sungai di Kampung Jerlang dikenali Sungai Batang Penar. Sungai Linggi juga merupakan sempadan semulajadi antara Negeri Sembilan dan Melaka.





No comments:

Post a Comment